
Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya telah berlangsung dengan meriah sekali di Kampus Kuala Lumpur TAR UMT pada 16 Ogos 2025. Konvoi KMJG telah disambut dengan penuh gemilang dengan lambaian Jalur Gemilang oleh Yang Berhormat (YB) Tuan Ir Ts Zahir Hassan, Ahli Parlimen Wangsa Maju, dan diiringi oleh Prof Dato’ Indera Ir Dr Lee Sze Wei, Presiden TAR UMT, kakitangan dan pelajar-pelajar TAR UMT serta wakil beberapa komuniti di kawasan Wangsa Maju.
Konvoi tersebut diketuai oleh Lt Kol Bersekutu (PA) Haji Sabaruddin Yeop Hamza, Pengarah Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (WPKLP). Konvoi ini telah memulakan perjalanan mereka pada 27 Julai yang lalu dan bertujuan untuk menyemarakkan lagi semangat kebangsaan di setiap perhentian sepanjang perjalanan mereka dengan membawa harapan kempen ‘Satu Rumah Satu Bendera’
“Jalur Gemilang tercinta kita bukan sekadar bendera tetapi ia adalah lambang kemerdekaan yang menyatukan kita semua sebagai rakyat Malaysia. Adalah amat penting untuk kita memastikan generasi muda yang akan memimpin negara kita menitikberatkan semangat perpaduan. Sebagai rakyat Malaysia, kita semua mesti sentiasa mencari titik-titik persamaan dan bukannya titik-titik perbezaan kerana negara ini adalah untuk kita semua. Dalam semangat inilah, konvoi KMJG berusaha untuk menjayakan kempen ‘Satu Rumah Satu Bendera’", kata Lt Kol Bersekutu (PA) Haji Sabaruddin.
Prof Dato’ Indera Ir Dr Lee pula berkata, “Sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang dinamakan sempena Bapa Kemerdekaan Malaysia, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj, TAR UMT memikul amanah bukan sahaja untuk mendidik minda, tetapi juga membentuk warganegara yang berprinsip, berintegriti, bertanggungjawab dan berjiwa patriotik. Kami amat menitikberatkan usaha memupuk nilai kenegaraan serta kesedaran sivik di kalangan warga TAR UMT”.
YB Tuan Ir Ts Zahir melahirkan penghargaan kerana kawasan Wangsa Maju dipilih sebagai salah satu hentian Konvoi KMJG, “Saya amat berbesar hati untuk menyambut Konvoi KMJG ke kawasan Wangsa Maju buat julung kalinya. Pada saya, program ini bukanlah satu program yang terpisah daripada usaha-usaha kita yang lain. Ia adalah satu usaha yang menggambarkan bahawa kita, rakyat Malaysia sentiasa bersatu padu dan mencintakan negara ini.”
Upacara yang bermakna ini juga telah menyaksikan pengedaran Jalur Gemilang kepada wakil-wakil komuniti. Selain itu, pelajar-pelajar TAR UMT yang terdiri daripada pelbagai kaum mengetuai bacaan Ikrar dan Rukun Negara dan diikuti oleh hadirin di upacara tersebut. Persembahan kebudayaan termasuk tarian tradisional dan nyanyian dua buah lagu patriotik dan tradisional oleh koir TAR UMT turut memeriahkan upacara gemilang tersebut.

YB Tuan Ir Ts Zahir (barisan depan kedua dari kiri) menghulurkan Jalur Gemilang kepada Prof Dato' Indera Ir Dr Lee (barisan depan ketiga dari kiri), sambil disaksikan oleh Lt Kol Bersekutu (PA) Haji Sabaruddin (barisan depan paling kiri)
Sememangnya, adalah menjadi kebanggaan untuk TAR UMT menyambut Konvoi KMJG Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dan program ini telah menyemarakkan lagi semangat kebangsaan dan cinta kepada negara di kalangan komuniti TAR UMT dan komuniti-komuniti di kawasan Wangsa Maju.




